Monday, July 21, 2008

Tema Novel Konserto Terakhir

Definisi Tema

Tema ialah idea atau persoalan pokok yang merupakan gagasan pemikiran yang menjadi dasar kepada sesebuah karya sastera. Sesebuah karya biasanya mempunyai satu tema yang biasanya diungkap dalam satu perkataan sahaja.

Tema yang dicipta untuk sesebuah novel mestilah berkaitan dengan keseluruhan novelnya. Semua aksi, cerita dan pengalaman dalam novel juga adalah sub kepada tema utama sesebuah novel. Sebenarnya, selepas membaca keseluruhan jalan cerita novel ini, pembaca yang kritis pasti boleh memberikan satu tema yang ringkas, padat dan kukuh berdasarkan novel yang telah dibaca.

Ada juga tema yang dinyatakan secara terang-terang dalam novel. Hal ini akan lebih menyenangkan para pembaca mengetahuinya dengan lebih senang. Pada pendapat saya, novel Konserto Terakhir mungkin adalah sebuah novel yang menyampaikan temanya secara terang-terang.

Tema untuk novel Konserto Terakhir ialah perjuangan hidup seorang anak muda yang berasal dari kampung yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan akhirnya berjaya menjadi seorang seniman besar negara.
Berikut ialah bukti-bukti yang dapat dikaitkan dengan kewujudan tema novel Konserto Terakhir.

1. Melalui novel ini, pengarang mengetengahkan liku-liku yang dilalui oleh Hilmi yang sebelum ini tidak mengetahui langsung bahawa dia mempunyai bakat sebagai seorang pemuzik. Bakat itu lahir secara tidak sengaja apabila dia mendengar alunan muzik yang dimainkan oleh Hayati.

2. Hilmi telah bekerja sebagai tukang kebun di rumah bapa saudaranya, Datuk Johari. Setiap kali Hayati bermain piano, Hilmi sengaja mencari kerja yang dekat dengan suara alunan piano itu.

3. Minat Hilmi terhadap muzik semakin memuncak. Dia telah mengusik piano Hayati dan memainkan beberapa buah lagu seperti lagu “anak ikan”. Pengarang melukiskan bakat yang ada pada Hilmi itu yang membolehkan nalurinya menggerakkan jari-jarinya bermain piano walaupun sebelum ini dia tidak ada asas muzik dan tidak pernah mengenal piano. Peristiwa itu menyebabkan piano itu rosak dan Datin Salmah memarahi Hilmi.

4. Keazaman untuk menjadi pemuzik menyebabkan Hilmi belajar muzik daripada Encik Bakar, seorang pemimpin quartet yang terkenal. Dengan bimbingan Encik Bakar, Hilmi boleh bermain biola, trompet, seksofon, dan klarinet. Hilmi juga telah berjaya menggubah lagu seperti “Sebuah Intermeso” dan banyak lagunya yang menjadi pujaan ramai.

5. Dunia muzik yang ada jatuh dan bangunnya juga dirasai oleh Hilmi. Hilmi memulakan kariernya dalam dunia muzik apabila bermain dalam quartet di bawah pimpinan Encik Bakar dan akhir-nya digelar sebagai “Pemain Biola Hikmat Malaysia”.


6. Dia juga telah menubuhkan sebuah kurigan yang diberi nama “Kurigan Dahlia” mengikut perkembangan muzik di Barat yang menjadi kegilaan muda-mudi ketika itu. Pengaruh muzik itu mula hilang dan Hilmi kembali menyertai orkestra dan telah memimpin orkestranya dan menjadi johan tiga kali berturut-turut dalam pertandingan yang dianjurkan oleh RTM.

7. Kejayaannya itu menyebabkan dia telah ditawarkan untuk memimpin pertunjukan Orkes Perdana yang sama tarafnya dengan Royal Performance di England dan membuat arrangement semua lagu ciptaannya dan arrangement itu diberi nama “Hilmi Potpouri”.

8. Walaupun terlalu banyak rintangan yang perlu dilaluinya untuk menjadi seorang pemuzik profesional, namun bagi Hilmi yang tabah, dia telah melalui setiap cabaran hidupnya dengan nilai-nilai murni.